KUANTAN, 10 Mei-Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail memberi jaminan Kerajaan Negeri Pahang tidak bercadang menaikkan kadar cukai tanah dalam tempoh lima tahun, walaupun menyasarkan peningkatan kutipan hasil setiap tahun.
Jaminan itu dinyatakan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, dengan beliau berkata kerajaan negeri mempunyai pelbagai perancangan menambah kutipan hasil negeri, antaranya menerusi kutipan hasil yang berulang.
“Kita tidak boleh terus berada dalam status quo (dalam kutipan hasil) kerana pelbagai sebab seperti kenaikan gaji, pertambahan jumlah penjawat awam dan kos sara hidup yang menyebabkan kerajaan negeri kena berusaha untuk meningkatkan kutipan hasil.
“Antara yang boleh dilakukan ialah meningkatkan kutipan hasil berulang seperti kita ada lebih kurang 740,000 hak milik tanah dan jika dapat ditingkatkan hingga satu juta hak milik, hasil tahunan akan meningkat. Begitu juga jika proses tukar syarat dimudah cara, dapat meningkatkan pendapatan kerana ia akan meningkatkan hak milik tanah,” katanya.
Wan Rosdy berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Chan Chun Kuang (PH-Semambu) yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk meningkatkan kutipan hasil tanpa meningkatkan cukai tanah.-BERNAMA

(Menteri Besar Pahang,Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail/FOTO RTM)