
KUALA LUMPUR, 22 Jun – Polis menahan 39 individu yang dikehendaki dalam Op Cantas Bersepadu di Selangor sejak 18 Jun lalu.
- Seramai 349 individu ditahan sepanjang operasi, termasuk 280 lelaki, 69 wanita dan 85 warga asing, disiasat di bawah pelbagai undang-undang.
- Op Cantas Bersepadu menyasarkan kumpulan jenayah terancang dan usaha melumpuhkan sumber kewangan melalui penguatkuasaan premis yang disyaki sumber pembiayaan.
- Operasi melibatkan kerjasama JSJ, Cawangan Khas, JSJN, PGU, Imigresen dan pihak berkuasa tempatan serta mengesan premis tanpa lesen dan majikan menggajikan pekerja asing tanpa permit.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar, berkata tangkapan menerusi 235 serbuan dan pemeriksaan di beberapa daerah.
Menurut beliau, daripada jumlah tersebut, lima individu merupakan orang dikehendaki di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) [Akta 747], manakala 34 lagi dikehendaki bagi kesalahan jenayah kekerasan dan jenayah harta benda.
“Secara keseluruhan, seramai 349 individu ditahan sepanjang operasi dijalankan, melibatkan 280 lelaki dan 69 wanita berusia antara 20 hingga 83 tahun, termasuk 85 warga asing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan terhadap semua yang ditahan membabitkan pelbagai kesalahan di bawah Kanun Keseksaan, Akta Imigresen 1959/63, Akta Peniaga Sekendhend 1946, Akta Pertubuhan 1966 dan Akta Dadah Berbahaya 1952.
Op Cantas Bersepadu dilaksanakan menerusi kerjasama strategik antara JSJ Bukit Aman, Cawangan Khas, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Pasukan Gerakan Udara (PGU), Jabatan Imigresen Malaysia serta pihak berkuasa tempatan.
Datuk M. Kumar berkata, operasi itu turut menyasarkan usaha melumpuhkan sumber kewangan kumpulan jenayah terancang melalui tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang dipercayai menjadi sumber pembiayaan kegiatan haram berkenaan.
Dalam operasi sama, dua pusat hiburan didapati beroperasi tanpa lesen yang sah, manakala 13 premis perniagaan dipercayai menggajikan pekerja warga asing tanpa pas atau permit kerja yang sah.
“Tindakan kompaun telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan terhadap pemilik perniagaan yang melakukan pelbagai kesalahan berkaitan pelesenan,” katanya.
Beliau menegaskan kejayaan operasi tersebut membuktikan komitmen berterusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memperkukuh usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah, khususnya yang melibatkan kumpulan jenayah terancang, menerusi kerjasama erat pelbagai agensi penguatkuasaan.
Pada masa sama, orang ramai diseru untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan jenayah melalui saluran yang disediakan bagi membantu pihak berkuasa meningkatkan keberkesanan usaha pencegahan dan pembanterasan jenayah demi keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.