fb fb fb fb fb

Kontrak batal jika tidak terima helikopter Black Hawk Okt ini

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin

KOTA TINGGI, 1 September - Kementerian Pertahanan memberi masa hingga Oktober ini untuk pihak kontraktor menghantar empat helikopter sewaan UH-60A Black Hawk kepada Tentera Darat Malaysia (TDM).

Menterinya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kontrak perolehan perkhidmatan sewaan helikopter itu akan dibatalkan sekiranya pihak terlibat gagal untuk berbuat demikian.

"Sampai Oktober, jika tidak kita akan batalkan, kalau Oktober pun kita tidak terima maka kita batalkan," tegas Mohamed Khaled.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran MyVilla di Dewan Raya Felda Air Tawar Tiga, di sini.

Bagaimanapun, Mohamed Khaled berkata MINDEF masih belum membuat perancangan lanjut sekiranya kontrak perolehan perkhidmatan sewaan empat helikopter itu dibatalkan.

“Perancangan lain akan dibuat selepas pembatalan,” katanya.

MINDEF pada Mei tahun lepas menandatangani kontrak sewaan empat helikopter dengan syarikat tempatan Aerotree Defence and Services Sdn Bhd selama lima tahun bernilai RM187 juta.

Pada awal bulan lepas, Mohamed Khaled dilaporkan berkata MINDEF sudah mendapat maklum balas daripada Pejabat Peguam Negara (AGC) berhubung cadangan pembatalan kontrak sewaan helikopter Black Hawk untuk TDM.

Sebelum ini media melaporkan kontraktor dan pengeluar helikopter berkenaan menghadapi beberapa kekangan untuk menghantar helikopter tersebut .

TETITIA YUSOFF