TEMERLOH, 18 Januari- Temerloh Titik Tengah Semenanjung (TTTS) yang terletak di Lanchang, merupakan satu lagi lokasi tarikan pelancongan di Pahang.
Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, ia merupakan mercu tanda bersifat ilmiah yang boleh dijadikan rujukan semua rakyat di negara ini.
Baginda bertitah, pembinaannya secara tidak langsung berpotensi menarik lebih ramai pelancong ke Temerloh yang terkenal dengan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan, Kuala Gandah dan Deerland Lanchang.
"Semua rakyat perlu tahu di mana 'Titik Tengah Semenanjung', memang berada di sini dan secara tidak langsung sama juga seperti di UK ada satu GMT, bukanlah kata popular sangat tapi sebahagian dari pendidikan. Kita boleh bawa penuntut datang ke sini, dengan ibu bapa. Ini secara tidak langsung boleh jadi tarikan pelancong.
"Ia satu produk Daerah Temerloh di Lanchang, ada gajah, ada rusa park, semua itu ada. Ini salah satu daripadanya, secara tidak langsung ia boleh jadi satu elemen kepada tarikan produk pelancongan", titah Baginda.
Baginda turut berkenan meluangkan masa hampir satu jam meninjau sendiri lokasi mercu tanda ikonik itu selepas menyempurnakan Majlis Perasmiannya di Kampung Paya Siput, Lanchang.
Keberangkatan tiba Baginda diiringi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Zulkifli Yaakob, Yang Dipertua Dewan Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, barisan Exco negeri serta kepimpinan Negeri Pahang.
Pembangunan TTTS mula dilaksana Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) pada tahun 2018 dan diserahkan kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) setelah siap setahun kemudian.
Ia dibina berhampiran monumen yang dibina Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) untuk menandakan sifar darjah (zero degree) atau dengan kata lain, Titik Tengah Semenanjung Malaysia.
Monumen ikonik tersebut juga menerapkan seni bina simbolik yang melambangkan Rukun Iman dan Rukun Islam dalam pembangunannya.
Tapaknya juga dilengkapi penunjuk arah kiblat dan memaparkan jarak ibu negeri bagi negeri-negeri di Malaysia dari Titik Tengah Semenanjung.