KUALA LUMPUR, 5 Mac- Penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) berupaya membantu menambah baik kualiti penyampaian dan pengisian program Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Ia bagi memastikan RTM terus kekal relevan dengan perubahan semasa landskap media yang menuntut pengamalnya berinovasi dalam menghasilkan karya.
Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Suhaimi Sulaiman berkata, penggunaan AI akan membantu memudah dan mempercepatkan proses kerja.
"Kalau ada AI bukankah lebih bagus? (Ini kerana) AI itu akan memberitahu kita, katakanlah hari ini kita dapat jemputan untuk cover assignment apa-apa, kemudian pada masa sama kita tahu kita punya penonton adalah dalam pelbagai kategori.
"Jadi mungkin AI itu boleh membantu kita, sekiranya kita hendak bercerita kepada penonton kita, jadi contoh cerita itu mungkin kita telah boleh diberikan oleh AI secara terus.
"Maksudnya, mungkin AI kata, ok, tak payah cover story ini untuk penonton-penonton ini, kerana penonton-penonton ini tidak mahu mendengar (topik) ini. Jadi itulah teknologi yang lebih keterdepan," katanya kepada pemberita selepas menjadi panel pada ABU Digital Broadcasting Symposium 2024 di sini, hari ini.
Tambah beliau, teknologi AI digunakan RTM terutama bagi tugasan berulang-ulang, sekali gus mampu mengurangkan sebarang kesilapan teknikal.
"Contohnya dalam Bintang RTM atau program-program lain... jadi tak perlulah seorang pengacara berceritakan tentang hadiah-hadiah yang disediakan oleh penaja kerana kita mahu pengacara bercakap tentang perkara yang lebih hebat.
"Manusia (pengacara) ini kadang-kadang mungkin tertinggal nama penaja (kemudian) penaja kecil hati. Jadi elok kita beri kepada Ai untuk buat kerja-kerja itu dan kita memang telahpun buat di RTM," ujarnya.
Suhaimi merupakan antara panel pada simposium tersebut ketika sesi Penyiaran Mampan dan Ekosistem Perniagaan Media.