fb fb fb fb fb

TDM tubuh lembaga siasatan kes tiga anak tentera lemas dalam kolam latihan

Panglima Tentera Darat (PTD), Leftenan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan

PORT DICKSON, 27 Januari- Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan sebuah Lembaga Siasatan untuk menyiasat secara terperinci insiden tiga anak tentera di Kem Temerloh, Pahang yang ditemukan mati lemas dalam kolam latihan, semalam.

Panglima Tentera Darat (PTD), Leftenan Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata siasatan akan dilakukan bagi mengenal pasti punca-berlakunya insiden itu terutamanya bagaimana kesemua mangsa melepasi pagar yang mengelilingi kolam latihan berkenaan.

"Siasatan ini pihak tentera sendiri akan buat dan mengenal pasti saksi-saksi yang boleh membantu untuk memberi keterangan. Mungkin dari segi pengawalan...pagar mungkin perlu diganti dengan baru sebab kolam itu sudah ada sekian lama dan perkara ini baru sahaja berlaku. Jadi pelbagai sudut akan disiasat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda Lelaki Siri 198/23 di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda), di sini, hari ini.

Muhammad Hafizuddeain berkata ketiga-tiga mangsa sedang dibedah siasat sebelum dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing untuk dikebumikan.

Semalam, bomba melaporkan dua kanak-kanak dan seorang remaja lelaki ditemukan lemas selepas disyaki mandi di kolam latihan kereta kebal sedalam tujuh kaki (kira-kira 2.1 meter) di sebuah kem tentera di Temerloh.

Dalam kejadian tersebut tiga mangsa terkorban ialah Amar Mukhlis Mohd Anizan, 13, serta Aiman Syafiq Sudirman dan Muhammad Shafiq Aswad Shahril Naim, kedua-duanya berumur 11 tahun.

ZEHRA BINTI ZAMBRI