fb fb fb fb fb

Taufan Tropika Opong: Tiada rakyat Malaysia terjejas

Taufan Tropika Opong kini berada di kawasan tengah Filipina dan bergerak ke arah barat dengan kelajuan 35 kilometer sejam. Foto AFP

KUALA LUMPUR, 26 September- Wisma Putra melalui Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang memantau rapat situasi terkini Taufan Tropika Opong atau Taufan Bualo yang membadai Filipina.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, setakat hari ini, taufan itu berada di kawasan tengah Filipina dan bergerak ke arah barat dengan kelajuan 35 kilometer sejam.

"Taufan itu dijangka keluar daripada Kawasan Tanggungjawab Filipina (PAR) esok. Kementerian sedang menyelaras dengan agensi berkaitan mengenai bantuan yang boleh disalurkan kepada Filipina," menurut kenyataan itu.

Dalam kenyataan sama, Malaysia turut menzahirkan ucapan takziah dan simpati kepada Kerajaan serta rakyat Filipina terjejas.

Setakat ini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat dalam bencana berkenaan.

Rakyat Malaysia yang berada di kawasan terlibat bagaimanapun dinasihatkan agar terus berwaspada serta mematuhi panduan terkini yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang berada di Filipina digalakkan untuk mendaftar atau mengemas kini keberadaan mereka melalui pautan https://ekonsular.kln.gov.my.

JALALUDDIN BIN BAHARIN