CAMERON HIGHLANDS, 27 Januari- Mayat mangsa ketiga tanah runtuh di Blue Valley di sini ditemukan sekitar jam 12.15 tengah hari tadi di Sektor D berhampiran dengan mayat kedua yang dijumpai semalam.
Ketua Polis Daerah, Deputi Superitendan Azri Ramli berkata, mayat ketiga itu adalah mangsa lelaki yang belum dikenal pasti identitinya.
Sementara itu, dua mangsa yang ditemukan semalam dikenali pasti sebagai Law Ha Phey, 36, dan Ki Shing Om, 48.
"Setakat ini, ada dua mangsa telah dikenal pasti iaitu seorang lelaki (bernama) Law Ha Phey, 36 tahun yang dijumpai semalam dan juga Ki Shing Om, 48 tahun, lelaki, yang dijumpai semalam juga.
"Mayat lelaki ketiga akan dikenal pasti sejurus sahaja dibawa ke bawah nanti," katanya dalam dalam sidang media di Blue Valley, sini.
Pada masa sama, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Md Gezani Md Ghazi berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan terus dipergiat bagi mencari dua lagi mangsa yang dikuatiri tertimbus.
Pencarian tersebut akan dilakukan menggunakan jentera berat.
SAR hari ini diteruskan dengan fokus di sekitar Sektor B dan C berikutan mayat pertama ditemukan di Sektor B, manakala mayat kedua di Sektor C.
Justeru, pasukan SAR menjangkakan kesemua mangsa berada berhampiran antara satu sama lain.
"Bagaimanapun, kita tidak meninggalkan sektor-sektor lain (dalam operasi SAR ini)," jelasnya.
SAR bermula sejak pukul 8.30 pagi tadi setelah ditangguhkan sekitar 7.00 malam semalam ekoran hujan lebat.
Seramai 169 anggota dan pegawai digerakkan dari Pahang, Perak dan Selangor bagi menyertai SAR berkenaan melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), JBPM, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) serta dua ekor anjing pengesan K9.
ARTIKEL BERKAITAN
Kesemua mangsa tanah runtuh Cameron Highlands disahkan warga Wyanmar
Mayat kedua insiden tanah runtuh di Cameron Highlands ditemukan
Seorang maut, empat dikhuatiri tertimbus tanah runtuh di Cameron Highlands
Insiden tanah runtuh Cameron Highlands, operasi SAR bersambung esok