fb fb fb fb fb

Tambahan 150 katil baharu di Hospital Tawau

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyantuni kakitangan hospital pada Majlis Peluncuran Blok Bangunan Baharu Hospital Tawau hari ini / BERNAMA

TAWAU, 10 November -Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan penambahan sehingga 150 katil baharu di Hospital Tawau bagi menampung peningkatan jumlah pesakit di daerah tersebut.

Langkah itu menjadikan jumlah keseluruhan katil di hospital berkenaan meningkat daripada 585 kepada lebih 700 katil.

"Walaupun kini mempunyai lebih 500 katil dan dengan tambahan blok baharu yang hampir menyerupai sebuah hospital penuh, kemudahannya masih belum mencukupi.

Justeru, saya minta agar kapasiti ditambah sekitar 100 hingga 150 katil lagi. Jika belum siap, saya harap pengarah hospital dan pihak kementerian dapat meneliti serta mencari jalan terbaik untuk menambah kemudahan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Blok Bangunan Baharu Hospital Tawau, di sini.

Blok baharu Hospital Tawau dibina dengan kos RM223.6 juta bawah Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ke-11 (RP1 RMK-11).

Kemudahan itu merangkumi enam bilik bedah, Jabatan Kecemasan dan Trauma, Klinik Pakar, Farmasi Pesakit Luar, serta ruang gunasama seperti auditorium dan bilik seminar.

Majlis perasmian turut dihadiri Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Datuk Seri Suriani Ahmad, serta kepimpinan kerajaan negeri dan pegawai kesihatan daerah.

Penambahan kapasiti dan pembukaan blok baharu itu mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkukuh sistem kesihatan Sabah ke arah perkhidmatan lebih mampan, moden dan inklusif, sejajar aspirasi Malaysia MADANI.

Datuk Seri Anwar menegaskan, pembangunan kemudahan kesihatan tidak hanya tertumpu kepada pembinaan bangunan moden semata-mata, tetapi juga mesti berpaksikan semangat khidmat kepada rakyat.

"Kerajaan juga memberi tumpuan kepada dua teras utama pembangunan negara iaitu pendidikan dan kesihatan bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah," ujarnya lagi.

FARIS IZZAT SHAHARUDIN