fb fb fb fb fb

Taib Mahmud disifatkan tunjang keharmonian Sarawak

Jenazah Allahyarham tiba di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pukul 7.50 pagi tadi

KUCHING, 22 Februari- Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyifatkan bekas Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud sebagai tunjang keharmonian negeri itu.

Katanya, Allahyarham berjaya memupuk semangat keamanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat berbilang kaum dan agama di Sarawak.

"Allahyarham sangat menjaga hak imigresen, mengekang elemen negatif daripada memasuki Sarawak dan membina syurga bumi kenyalang yang meraikan kebebasan beragama dan kepelbagaian kaum. Hasil kerja keras dan susah payah Allahyarham adalah memastikan tiada kaum tercicir dalam semua dasar semasa menjadi Ketua Menteri Sarawak selama lebih tiga dekad. Saya merakamkan rasa dukacita dan menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga Allahyarham," katanya menerusi kenyataan.

Tambahnya, Allahyarham telah mengabadikan 63 tahun daripada 87 tahun usianya untuk berkhidmat kepada Sarawak, selain membantu mentransformasi negeri itu ke arah lebih baik.

Dalam pada itu, jenazah Allahyarham tiba di kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada pukul 7.50 pagi tadi.

Jenazah dibawa memasuki ruangan Atrium DUN Sarawak dengan penuh penghormatan.

Turut mengiringi jenazah Allahyarham, terdiri daripada anak-anak dan keluarga terdekat.

Artikel Berkaitan:
Taib Mahmud disegani atas perkhidmatan terbaik sepanjang galas amanah
Raja-raja Melayu zahir ucapan takziah pemergian Taib Mahmud
Anwar ucap takziah pemergian Taib Mahmud
Lebih 30 tahun teraju Sarawak, sumbangan Taib Mahmud sangat besar
Abdul Taib Mahmud meninggal dunia

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM