KUALA LUMPUR, 30 Disember - Ancaman jenayah siber berasaskan kecerdasan buatan (AI) kini muncul sebagai isu paling kritikal dan kompleks, dengan pemalsuan identiti menggunakan teknologi deepfake dikenal pasti antara risiko utama yang membimbangkan rakyat.
Menurut Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia, Siraj Jalil, AI kini bukan sahaja dimanfaatkan pengguna, malah turut dieksploitasi penjenayah untuk menyelaras serangan siber secara lebih terancang melalui penggunaan AI agent dan analisis data pengguna.
Jenayah siber masa kini tidak lagi bergantung kepada tahap kesedaran semata-mata, sebaliknya semakin canggih dengan meneliti corak dan sikap penggunaan digital individu. Situasi itu menyebabkan golongan profesional termasuk pensyarah, guru dan individu berpendidikan tinggi turut menjadi mangsa.
“Jenayah siber hari ini adalah jenayah pintar. Penjenayah menggunakan data, teknologi terkini serta aplikasi AI seperti deepfake yang mampu meniru wajah, suara dan video hampir menyerupai individu sebenar,”katanya ketika ditemui dalam satu temubual di Angkasapuri, hari ini.
Sehubungan itu, Siraj menegaskan kesedaran keselamatan digital mesti disokong dengan ilmu dan kefahaman yang berterusan. Pengguna disaran sentiasa mengemas kini kata laluan, peka terhadap notifikasi dan e-mel mencurigakan serta mengetahui saluran pelaporan yang betul.
Beliau turut menggesa orang ramai memahami pelaksanaan Akta Online Safety Act (ONSaR) yang memperkenalkan kaedah pelaporan baharu secara langsung kepada platform dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) melalui portal aduan.skmm.gov.my.
“Jika berlaku ancaman digital, laporan perlu dibuat secara dalam talian terlebih dahulu. Akta ini meletakkan tanggungjawab jelas kepada platform media sosial,” jelasnya.
Empat fokus utama pelaporan di bawah akta itu melibatkan kes cyberbullying, bahan penderaan seksual kanak-kanak, penipuan atau scam, serta kandungan perjudian dalam talian.
Siraj menegaskan akta berkenaan bukan bertujuan menyekat kebebasan, sebaliknya melindungi pengguna termasuk peniaga dalam talian yang kini turut terdedah kepada risiko penipuan.
“Tanpa ilmu, kesedaran sukar berfungsi. Zaman ini sangat pintar, dan jika pengguna gagal mengurus keselamatan digital, mereka akan menjadi subjek kepada ancaman,” katanya.