JOHOR BAHRU, 30 Disember -Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Pasir Pelangi, hari ini.
Dalam pertemuan berkenaan, Seri Paduka Baginda dipersembahkan perkembangan semasa negara.
Perkara itu dimaklumkan menerusi kenyataan di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Sementara itu, Perdana Menteri dalam kenyataannya turut memberitahu, sesi menghadap tersebut dimanfaatkan untuk menyembah maklum beberapa perkara.
"Alhamdulillah, saya turut mempersembahkan perkara-perkara berkaitan urusan pentadbiran dan kesejahteraan rakyat," katanya dalam hantaran di Facebook Anwar Ibrahim.
Beliau turut mendoakan agar Baginda serta keluarga sentiasa dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan berada dalam lindungan Allah SWT.