PENDANG, 30 Disember- Seorang pemandu wanita terselamat selepas kereta yang dipandunya terbabas ke dalam sungai di Titi Kampung Banggol Besi, Pendang, awal pagi Isnin (29 Disember).
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang, Penolong Penguasa Bomba Ahmad Huzaini Halil berkata mangsa berusia 43 tahun itu hanya mengalami kecederaan ringan dan berjaya dikeluarkan dengan selamat oleh anggota bomba.
Beliau berkata, seramai tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pendang dikerahkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan.
Setibanya di lokasi pada pukul 1.12 pagi, didapati kenderaan mangsa berada di dalam sungai sebelum anggota bomba bertindak mengangkat mangsa ke permukaan jalan menggunakan pengusung.
Mangsa diberikan rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Pendang untuk pemeriksaan lanjut.
Operasi menyelamat tamat sepenuhnya pada pukul 1.25 pagi.