fb fb fb fb fb

Yayasan Peneraju taja 100 pelajar Terengganu belajar perakaunan

Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed

MARANG, 30 Disember- Seramai 100 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari Terengganu diberikan peluang melanjutkan pengajian di Kolej Sunway melalui tajaan penuh Yayasan Peneraju.

Tajaan itu membolehkan mereka mengikuti program perakaunan bertaraf antarabangsa dan bertauliah di institusi pendidikan swasta terkemuka tersebut.

Pengarah Pendidikan Terengganu, Kamsah@Kamal Mohamed berkata Terengganu antara negeri terawal menerima tawaran khas itu, sekali gus memperluas akses pelajar negeri itu ke pendidikan tinggi, bukan sahaja di universiti awam tetapi juga di institusi swasta.

Melalui skim pembiayaan bernilai RM150,000 selama empat tahun, pelajar bukan sahaja dikecualikan yuran pengajian, malah turut menerima elaun bulanan bernilai RM1,200.

"Tengganu masih kekurangan pelajar yang benar-benar menceburi bidang ini. Inisiatif ini adalah satu peluang besar untuk melahirkan warga Terengganu yang berkelayakan dalam perakaunan," kata Kamsah kepada pemberita, hari ini.

Majlis itu turut meraikan 402 pelajar SPM yang memperoleh A+ dalam subjek Prinsip Akaun dan Matematik Tambahan, masing-masing menerima wang tunai dan sijil sebagai motivasi untuk melangkah ke pengajian tinggi.

“Daripada 1,392 pelajar ACCA, hanya 54 daripada Terengganu. Tahun ini, daripada 245 penerima biasiswa, hanya lapan dari Terengganu. Jadi, kami datang ke JPN Terengganu untuk melihat bagaimana program ini boleh memberi manfaat kepada pelajar Terengganu," jelasnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM