KUCHING, 30 Disember- Malaysia berduka dengan pemergian seorang tokoh ilmuwan tersohor dan pemikir ekonomi hebat, Datuk Dr. Madeline Berma, yang amat disegani ramai.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof berkata sumbangan besar mendiang Datuk Dr. Madeline terutamanya melalui penyelidikan mendalam dalam bidang pembangunan ekonomi, dasar awam, kemiskinan dan ketidaksamaan sosial telah banyak membantu membentuk pemikiran serta hala tuju dasar negara.
Pandangan dan hasil penyelidikan beliau juga sering menjadi rujukan penting, bukan sahaja dalam kalangan akademik, malah oleh pembuat dasar di peringkat nasional.
"Sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Profesor di Universiti Kebangsaan Malaysia (IKMAS) serta kepimpinan beliau di Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, mendiang telah memperkukuh wacana intelektual negara, melahirkan ramai sarjana dan membimbing generasi pembuat dasar dengan ilmu yang berteraskan keadilan sosial dan kemakmuran bersama," kata Datuk Seri Fadillah menerusi hantaran di Facebook.
Jelasnya, pemergian mendiang merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada dunia akademik, tetapi juga kepada Sarawak dan Malaysia keseluruhannya.
"Jasa, ilmu dan legasi pemikiran beliau akan terus hidup dan akan sentiasa dikenang serta menjadi panduan kepada generasi akan datang," tambah kenyataan itu.
Mendiang Datuk Dr Madeline Berma yang juga Felo Kanan Institut Masa Depan Malaysia,dilaporkan meninggal dunia di kediamannya di Bandar Baru Bangi, Selangor, pagi tadi.