KUALA LUMPUR, 21 Februari- Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud disifatkan sebagai seorang tokoh yang disegani kerana telah memberikan perkhidmatan terbaik sepanjang menggalas amanah melaksanakan tugas khususnya di negeri itu.
Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dalam catatan di facebook berkata, pemergian Bapa Pemodenan Sarawak itu merupakan satu kehilangan buat negeri tersebut dan juga negara.
"Terlalu banyak jasa dan bakti Allahyarham kepada Bumi Kenyalang. Seorang yang disegani atas perkhidmatan terbaik Allahyarham sepanjang diberikan amanah. Takziah buat seluruh ahli keluarga Allahyarham," katanya.
Pada masa sama, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata turut meluahkan jasa, sumbangan dan usaha yang banyak disumbangkan Allahyarham menjadikan beliau seorang tokoh politik hebat dan pemimpin yang dihormati sepanjang menjadi Ketua Menteri Sarawak ke-4 dan Yang di-Pertua Negeri Sarawak ke-7.
"Berita pemergian Allahyarham merupakan suatu kehilangan besar buat negara, khususnya bagi rakyat Negeri Sarawak. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. Al-Fatihah," katanya.
Selain itu, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menyifatkan banyak jasa Allahyarham yang telah dicurahkan dalam pembangunan dan pemodenan Sarawak sejak mengambil alih pentadbiran negeri itu pada 1981.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor turut mendoakan agar roh Allahyarham Tun Abdul Taib dicucuri rahmat serta ditempatkan dalam kalangan orang beriman.
Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow pula mendoakan agar seluruh keluarga Allahyarham diberikan kekuatan atas kehilangan Abdul Taib.
Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Abdul Taib dalam satu hantaran di facebook.
Aminuddin berkata semoga roh Allahyarham diampuni dosanya, serta diletakkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh, Insya-Allah.
"Ya Allah, muliakanlah beliau, lapangkanlah perkuburannya, jadikan syurga sebagai ganti tempat tinggalnya, dan berikanlah kesabaran kepada ahli keluarganya," katanya.
Abdul Taib, 87, meninggal dunia di sebuah hospital di ibu negara pada 4.40 pagi tadi dan pengurusan jenazah Allahyarham dilakukan di Masjid Negara sebelum dibawa pulang ke Kuching untuk dikebumikan.