KUCHING, 21 Februari- Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud meninggal dunia pagi tadi kerana sakit tua.
Allahyarham, 88 menghembuskan nafas terakhirnya di pusat perubatan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL) di Kuala Lumpur pada pukul 4.40 pagi.
Menurut jurucakap Astana Negeri Sarawak, jenazah Allahyarham akan dimandikan di Masjid Negara, Kuala Lumpur pada pagi ini sebelum diterbangkan ke Kuching menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi urusan pengebumian.
Penghormatan terakhir Allahyarham dijangka diadakan di Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Jenazah akan dikebumikan di Demak Jaya.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Sarawak selama enam penggal meninggalkan seorang balu dan empat anak.