fb fb fb fb fb

Lebih 30 tahun teraju Sarawak, sumbangan Taib Mahmud sangat besar

Foto BERNAMA

SARAWAK, 21 Februari- Sumbangan bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud selama 33 tahun menerajui kepimpinan negeri itu sebagai Ketua Menteri Sarawak amat besar.
 
Bidang pendidikan, ekonomi, politik dan sosial maju seiring di bawah pentadbiran Tun Abdul Taib menerusi pelbagai inisiatif.

Antara yang paling ketara ialah pemilihan Kota Samarahan sebagai hub pendidikan yang menyaksikan penubuhan universiti awam pertama Sarawak, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), diikuti Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Sarawak dan Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak.

Kota Samarahan kini juga memiliki Pusat Jantung Sarawak, Pusat Sains Sarawak dan Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak .
 
Penubuhan Lembaga Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA) untuk memanfaat potensi tenaga hidroelektrik menerusi projek empangan hidroelektrik (HEP) seperti Batang Ai, Bakun dan Murum selain Baleh yang dijangka siap pada 2027.
 
Projek HEP telah membolehkan Sarawak membawa pulangan berbilion ringgit dalam pelaburan langsung asing kerana mampu menawarkan tarif yang kompetitif serta mampu mengeksport kuasa ke Kalimantan.
 
Daripada segi politik, Allahyarham menerajui Parti Pesaka Bumiputera Bersatu selama 33 tahun, menyaksikan Sarawak mempunyai kerajaan yang stabil selain berjaya menyatukan rakyat berbilang kaum dan agama di negeri itu.
 
Selepas berkhidmat sebagai Ketua Menteri Sarawak sehingga 28 Februari 2014, Allahyarham kemudian dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak ketujuh pada 1 Mac 2014 dan berakhir pada 25 Januari 2024.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM