fb fb fb fb fb

JAKIM siasat pendedahan laporan akhbar 'Eksploitasi Nasab Suci Nabi'

Dr Mohd Na’im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 22 Februari- Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menyiasat pendedahan sebuah akhbar tempatan yang menerbitkan laporan bertajuk bertajuk “Eksploitasi Nasab Suci Nabi” baru-baru ini.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, JAKIM akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa agama Islam khususnya Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan itu.

Selain pendedahan daripada akhbar berkenaan, laporan lain berkaitan isu terbabit turut akan disiasat oleh pihaknya.

"Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba mengeksploitasi agama untuk kepentingan diri mahupun kumpulan tertentu.

"(Justeru) semua pihak adalah dinasihatkan supaya sentiasa merujuk kepada JAIN berkaitan apa-apa urusan berkaitan pentauliahan mana-mana pendakwah agar setiap perkara yang disampaikan selari dengan ajaran Islam," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Na’im turut mengingatkan semua pihak untuk sentiasa berpegang kepada neraca ilmu, fakta dan menjauhkan diri daripada taksub.

Ini kerana sikap taksub akan menyebabkan seseorang mudah terpengaruh dengan sesuatu dakwaan oleh individu mahupun kumpulan tertentu.

SITI AISHAH BINTI MD ISA