KUALA LUMPUR, 11 Mei- Syarikat tempatan disaran menyertai program Akademi Dalam Industri.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri ,Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ia dalam usaha membangunkan bakat tempatan pada masa hadapan yang mampan dan berkemahiran bagi memenuhi keperluan industri.
Katanya, usaha itu dijangka menyumbang kepada peningkatan produktiviti pasaran buruh negara.
"Kita nak meningkatkan kemahiran pekerja-pekerja kita dan pada masa sama kita nak memastikan kemahiran yang dapat diperolehi pekerja-pekerja ini adalah relevan daripada sudut permintaan industri.
"Kita tak nak melatih dan memberi ijazah yang tidak ada keperluannya di dalam industri.. kerjasama pihak industri dan juga kerajaan itu penting," katanya pada Majlis Graduasi Akademi Dalam Industri anjuran Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di sini.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bakal mencipta peluang pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi, sekali gus meningkatkan taraf sosioekonomi rakyat secara keseluruhan.