fb fb fb fb fb

Surau MADANI R&R Seremban laksana solat Jumaat pertama, tarik kehadiran 300 jemaah

Solat Jumaat pertama hari ini dipimpin oleh Imam Shafie Rajiman

SEREMBAN, 4 Julai- Kira-kira 300 jemaah hadir menunaikan solat Jumaat pertama di Surau MADANI Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban Arah Selatan, hari ini.

Daripada jumlah tersebut, 60 daripadanya merupakan pemastautin tetap yang terdiri daripada rakan-rakan niaga serta para pekerja di kawasan R&R itu.

Menurut Pengarah Urusan Plus Malaysia Berhad, Datuk Nik Airina Nik Jaffar, fasiliti baharu tersebut boleh memenuhi jemaah sehingga 150 orang pada satu-satu masa selain dilengkapi dengan kemudahan untuk warga emas dan golongan Orang Kurang Upaya (OKU).

"Kita memilih Seremban kerana jumlah pengguna yang datang ke sini agak ramai dan bilangan kakitangan yang bermastautin di kawasan ini juga mencukupi untuk kita laksanakan solat Jumaat. Kalau jumlahnya tidak mencukupi, sudah tentu kita tidak akan adakan kerana ia tidak memenuhi keperluan.

Jadi, surau ini dipilih kerana kehadiran pengguna yang ramai dan adanya keperluan daripada semua pihak termasuk staf, rakan niaga dan pelanggan untuk kemudahan solat Jumaat di sini," kata Datuk Nik Airina, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika meninjau suasana solat Jumaat pertama di Surau MADANI R&R Seremban Arah Utara.

Solat Jumaat pertama hari ini dipimpin oleh Imam Shafie Rajiman.

Sementara itu, jemaah hadir beramai-ramai bagi mengimarahkan pelaksanaan solat Jumaat pertama di surau tersebut.

Surau berkenaan telah dinaik taraf dengan penambahan kemudahan seperti mimbar, mihrab, sistem pembesar suara serta penubuhan Jawatankuasa Kariah Penaja Surau Madani R\&R Seremban (Arah Selatan) yang dianggotai oleh 93 pemastautin tetap berdaftar, terdiri daripada rakan niaga dan para pekerja di kawasan itu.

"Ini merupakan satu cadangan yang sangat baik, khususnya untuk mereka yang dalam perjalanan dan tak sempat ke masjid. Dengan adanya kemudahan solat Jumaat di R&R ini, pengguna lebuh raya boleh singgah, solat berjemaah dan berehat tanpa perlu keluar dari laluan utama. Inisiatif oleh pihak PLUS ini bukan sahaja memudahkan solat harian, tetapi juga memberi peluang untuk tunaikan solat Jumaat dalam suasana yang selesa.

Saya rasa kalau kemudahan seperti ini diperluaskan ke lokasi lain, ia pasti memberi manfaat besar kerana laluan ini memang sibuk dan ramai pengguna tak sempat cari masjid luar. Jadi, sambil berhenti makan atau berehat, mereka boleh terus solat, satu usaha yang sangat baik dan patut diteruskan," kata Mohd Ali Hasbullah.

"Sebelum ini, saya sering terkejar-kejar dan ada masanya terlepas solat Jumaat, atau sampai ketika jemaah sudah pun berada di rakaat pertama.

Jadi, dengan adanya kemudahan ini, ia sangat membantu dan meringankan beban ramai orang seperti saya untuk menunaikan solat Jumaat dengan lebih tenang dan teratur ketika dalam perjalanan," kata Syazwan Izmir Ahmad Salleh.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM