fb fb fb fb fb

Sumbangan Palestin, Sultan Selangor berkenan serahkan RM4.374 juta kepada JAKIM

Foto FB Selangor Royal Office

SHAH ALAM, 24 November- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menyerahkan bantuan kemanusian sebanyak RM4.374 juta kepada Tabung Musaadah Palestin Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Dana itu hasil sumbangan umat Islam melalui kutipan yang dibuat di masjid dan surau di seluruh Selangor.

Sumbangan diserahkan Sultan Selangor kepada Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Hakimah Mohd Yusof di Istana Bukit Kayangan, Shah Alam, hari ini.

Baginda bertitah dalam satu kenyataan pengumpulan dan penyaluran sumbangan dibuat dan diselaraskan melalui Tabung Infak Jariah Umat Islam Selangor (TIJARI) mulai 13 Oktober lalu, bagi memastikan dana dikelola secara tersusun, bertanggungjawab, telus dan lancar.

"Selain itu, penyelarasan di bawah TIJARI memberi jaminan terhadap setiap infak umat Islam di Selangor, disampaikan terus kepada rakyat Palestin tanpa sebarang ketirisan," titah baginda dalam kenyataan itu.

Sultan Sharafuddin turut berdoa agar Allah SWT melindungi kemuliaan Masjid Al-Aqsa supaya umat Islam dapat beribadah secara aman selain mendoakan kemenangan buat pejuang Palestin dalam membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman rejim zionis Israel.

Sementara itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan melancarkan laman web khutbah terbitan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Laman web e-khutbah.jais.com.my mengumpulkan koleksi 23 tahun khutbah yang dibaca setiap Jumaat, Aidilfitri dan Aidiladha serta Solat Sunat Gerhana dalam tulisan jawi, rumi dan Inggeris.

"Khutbah sangat penting sebagai medium ‘ulil amri’ bagi menyampaikan ajaran agama Islam dengan tepat dan bertanggungjawab.

Khutbah juga sebagai medium masyarakat bagi menambah ilmu, kefahaman tentang prinsip dan pelaksanaan agama Islam berkaitan dengan akidah, syariah dan akhlak," titah baginda.

Khutbah memberi pendekatan yang dituntut dalam Islam terhadap isu dan permasalahan semasa yang berlaku selain menjadi media dakwah lisan yang sangat luas.

Baginda yakin laman web itu akan menjadi rujukan golongan ilmuan, guru, pelajar dan pendakwah selain mereka yang tidak berkesempatan menunaikan solat Jumaat serta kaum wanita.

Turut berangkat dalam majlis itu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM