PUTRAJAYA, 24 Julai - Sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) telah mencecah RM120 juta.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah tersebut melebihi sasaran awal RM50 juta, sekali gus menunjukkan komitmen syarikat swasta dalam menyokong usaha kerajaan membantu rakyat.
"Saya kata kalau mendapat RM50 juta pun tidak mengapa... nanti kerajaan tambah sedikit sebanyak. Tetapi sampai sekarang sambutannya bukan hanya dua kali ganda, lebih daripada itu.
"Jadi saya agak sentimental dengan hal ini. Saya pun manusia biasa, kadang ada juga perasaan. Ya... walaupun tidak semua senang dengan langkah ini, tetapi saya percaya setakat ini sambutannya setakat ini sudah hampir RM120 juta", katanya.
Beliau berucap sempena Majlis Peluncuran Inisiatif Sejahtera MADANI 2025 di Putrajaya.
Jelasnya, sumbangan tersebut akan disalurkan terus ke Tabung Kesejahteraan Rakyat di bawah seliaan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM).
Sumbangan CSR itu juga layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan 1967 oleh Kementerian Kewangan.
Program Sejahtera MADANI ialah satu inisiatif nasional yang diselaras oleh ICU JPM untuk membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem Pangkalan Data Kemiskinan Nasional (Sistem eKasih).
Program itu menghimpunkan pelbagai bentuk intervensi bantuan merentas kementerian, agensi dan pihak swasta bagi membasmi kemiskinan secara berfokus dan bersepadu.
Sementara itu, kerajaan menyasarkan penyusutan 33 peratus kadar kemiskinan tahun ini.
Komited untuk membanteras miskin tegar, Perdana Menteri berkata, itu antara langkah yang diambil bagi mencapai sasaran tersebut melalui inisiatif Sejahtera MADANI.
"Dalam Sejahtera MADANI ini, kita tingkatkan sedikit, nampaknya dengan komitmen kerajaan, swasta, majlis agama, wang zakat, nampak boleh selesai mudah soal kemiskinan tegar", katanya.
Berpaksikan pendekatan ‘whole of nation approach’, Sejahtera MADANI diperkukuhkan dengan elemen tambahan yang memfokuskan program atau bantuan lebih berimpak tinggi dan mampan kepada Ketua Isi Rumah (KIR) dan Ahli Isi Rumah (AIR) eKasih melalui empat fokus inisiatif iaitu peningkatan pendapatan, pendidikan, perumahan dan kebajikan.
Sehingga 15 Julai tahun ini, seramai 306,403 KIR direkodkan di dalam Sistem eKasih seluruh negara dengan pecahan miskin tegar seramai 1,017 KIR dan miskin seramai 305,386 KIR.