KUALA LUMPUR, 26 September- Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.
Baginda menerusi kenyataan memaklumkan perkara itu, berikutan kenyataan dibuat Sanusi pada 11 Julai tahun lalu.
"Beta dengan ini berkenan untuk menerima permohonan ampun dan maaf daripada Dato' Seri atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.
"Beta tidak mahu umat Islam sentiasa bermusuhan antara satu sama lain dan kita sesama umat Islam hendaklah sentiasa memaafkan sekiranya yang memohon maaf itu ikhlas di dalam permohonan maafnya," titah baginda.
Dalam pada itu Sultan Selangor turut menasihatkan Menteri Besar Kedah itu supaya menjaga tutur kata serta tatasusila.
"Di kesempatan ini Beta ingin menasihati Dato' Seri agar sentiasa menjaga tutur kata serta tatasusila dan jangan terlalu beremosi dan menggunakan perkataan-perkataan yang tidak baik dalam memberi syarahan kepada rakyat jelata terutama sekali bila berada di dalam Negeri Selangor," titah baginda.
Sultan Sharafuddin berpendapat perkara seperti itu dikhuatiri akan mempengaruhi rakyat dengan kata-kata yang kesat dan tohmahan tidak berasas terutama sekali daripada golongan pemimpin.
Pada masa sama Baginda turut mengingatkan Muhammad Sanusi untuk memikirkan kesan pada masa depan selain menjaga kelakuan dan tutur kata.