SHAH ALAM, 1 Januari - Konvoi Trans ASEAN MADANI sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 bukan sekadar sebuah ekspedisi permotoran, sebaliknya menjadi manifestasi jelas semangat Malaysia MADANI yang mengangkat nilai perpaduan, kerjasama dan keterangkuman serantau.
Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, setiap peserta konvoi diharapkan mampu berperanan sebagai ‘duta kecil’ negara, membawa imej positif Malaysia sepanjang perjalanan merentasi negara-negara ASEAN.
Usaha itu sekali gus memperkukuh hubungan serantau selain mengharumkan nama Malaysia di persada ASEAN serta merancakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 kepada masyarakat serantau.
“Tujuan program ini adalah untuk memperkenalkan Malaysia kepada negara-negara yang dilalui, di samping mengeratkan serta menjalinkan hubungan bagi mengukuhkan persahabatan berteraskan semangat kita sebagai satu rantau ASEAN.
"Dari sudut koperasi pula, penganjurannya dibuat sempena penutup Tahun Koperasi Antarabangsa 2025 yang dilancarkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB)," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Makan Malam dan Pelepasan Konvoi Trans ASEAN MADANI sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 di sini.
Konvoi yang bermula dari 1 hingga 16 Januari itu terdiri daripada 18 buah kenderaan, melibatkan 100 peserta dari Malaysia. Peserta memulakan ekspedisi dari Dataran Kelana Jaya menuju Thailand, Laos dan Kemboja mengambil tempoh perjalanan selama16 hari.
