KANGAR, 1 Januari - Seramai 500 peserta menyertai program riadah melibatkan aktiviti larian dan berjalan santai bersama keluarga yang memeriahkan sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di Perlis.
Program yang berlangsung di Denai Larian Pangkalan Asam itu menyaksikan para peserta mengelilingi laluan pejalan kaki sekitar denai sejauh tiga kilometer bagi wanita, enam kilometer bagi lelaki, selain jalan santai sejauh tiga kilometer yang turut disertai seisi keluarga.
Setiausaha Kehormat Persatuan Olahraga Amatur Perlis, Iyaru Muthusamy berkata, sukan terus menjadi platform terbaik dalam memupuk serta memperkukuh perpaduan antara kaum apabila menghimpunkan penyertaan pelbagai lapisan masyarakat dan peringkat usia.
"Penganjuran program seumpama itu juga berperanan membudayakan amalan gaya hidup aktif, sihat dan cergas, khususnya dalam kalangan keluarga.
Program Larian Ambang Tahun Baharu 2026 itu turut diadakan bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Perlis 2024–2026.
Program itu dianjurkan Persatuan Olahraga Amatur Negeri Perlis turut mendapat kerjasama Majlis Sukan Negeri Perlis, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Perlis, Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Hospital Tuanku Fauziah serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis.
