KLEBANG, 1 Januari - Melaka melancarkan Aplikasi Pelancongan Pintar Kecerdasan Buatan (AI) serta Pasport Pelancongan Tahun Melawat Melaka 2.0 (TMM 2.0) dalam usaha memacu transformasi negeri berasaskan teknologi sekali gus memberi impak langsung kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026).
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, inisiatif berkenaan sejajar dengan aspirasi Melaka menjadi destinasi pelancongan bertaraf global yang bukan sahaja menonjolkan keindahan dan warisan negeri, tetapi juga kredibiliti dan kecanggihan teknologi pelancongan.
"Kita mahu pelancong datang bukan hanya untuk menikmati keindahan Melaka, tetapi juga kagum dengan teknologi dan pengalaman pelancongan di negeri ini.
"TMM 2.0 bukan sekadar kempen, tetapi pemangkin ekonomi yang membuka peluang perniagaan dan memastikan pembangunan memberi manfaat sehingga ke akar umbi," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Majlis Peluncuran TMM 2.0 dan sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 di Encore Melaka di sini.
Kerajaan negeri turut menyasarkan kehadiran 19 juta pelancong pada tahun 2026 dengan lebih 220 acara dirancang sepanjang tahun. Menurut Datuk Seri Ab Rauf pelaksanaan TMM 2.0 juga akan memberi impak langsung kepada Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026), dengan memperkukuh promosi negeri Melaka sebagai destinasi unggul di peringkat antarabangsa.
Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam serta diserikan dengan persembahan zapin seribu penari yang memukau pengunjung.
Selain itu majlis berkenaan juga memberi pengiktirafan dan anugerah kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza; Duta Setiakawan Pelancongan Melaka, Datuk Fan Bingbing dan pencipta lagu tema Tahun Melawat Melaka berjudul Senandung Anak Melaka, Mohd Fauzi Mohammad.
Lebih 40,000 pengunjung memeriahkan sambutan Ambang Tahun Baharu 2026 selain menyaksikan persembahan istimewa daripada Biduanita Negara, sekali gus menambah kemeriahan program itu.
