fb fb fb fb fb

Kebakaran musnahkan aras bawah stor tiga tingkat di Perai

Sebahagian stor yang menyimpan kain serta barangan perkakasan di Bandar Perai Jaya, Perai musnah dalam satu kebakaran

SEBERANG PERAI, 1 Januari - Sebahagian stor yang menyimpan kain serta barangan perkakasan di Bandar Perai Jaya, di sini musnah dalam satu kebakaran yang berlaku pada petang Rabu.

Kejadian itu hanya melibatkan aras bawah bangunan tiga tingkat yang merangkumi empat unit lot kedai bersambung dan digunakan sebagai stor simpanan. 

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.10 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi sembilan minit kemudian.

"Anggaran kemusnahan melibatkan Lot 40 sebanyak 10 peratus, manakala Lot 42, 44 dan 46 masing-masing mengalami kerosakan sekitar 50 peratus.

"Tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam insiden berkenaan," menurut kenyataan itu.

Kebakaran berjaya dikawal pada pukul 6.34 petang dan dipadam sepenuhnya pada pukul 9.24 malam sebelum kerja-kerja pembaikan dijalankan. Operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 12.36 tengah malam.

Seramai 23 anggota bomba, termasuk pegawai penyelia, terlibat dalam operasi pemadaman dengan bantuan BBP Bandar Perda, Penanti dan Sungai Bakap.

Operasi turut disokong Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Puyu, Cross Street dan Juru.

Pegawai Penyiasatan Kebakaran (FIO) menerima serahan tugas bagi tindakan lanjut, manakala punca kebakaran dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI