
SAUDARA PENGARANG
- Pengurusan pokok bandar masih reaktif, bukan preventif, menyebabkan tragedi pokok tumbang berulang.
- Perlu pemeriksaan arboris teknikal dan audit berkala untuk mengenal pasti kerosakan dalaman pokok.
- Gunakan teknologi moden dan polisi "Replace Not Just Remove" untuk pengurusan pokok bandar lebih selamat.
Insiden dua pensyarah wanita yang cedera selepas kenderaan mereka dihempap pokok tumbang di Shah Alam sekali lagi membuka mata masyarakat terhadap satu risiko bandar yang sering dianggap remeh iaitu kegagalan struktur pokok.
Dalam kejadian tersebut, mangsa terperangkap dalam kenderaan sebelum diselamatkan pasukan bomba selepas pokok besar tumbang secara tiba-tiba.
Apa yang lebih membimbangkan, kejadian seperti ini bukan kes terpencil. Hampir setiap tahun, bandar utama di Malaysia termasuk Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Pulau Pinang merekodkan kematian, kecederaan dan kerosakan harta akibat pokok tumbang terutama ketika ribut petir.
Ianya merupakan fenomena berulang di Malaysia dimana kes pokok tumbang sebenarnya telah berlaku berkali-kali. Pada tahun 2025, penunggang motosikal maut di Melaka selepas dihempap pokok tumbang.
Manakala, kenderaan dihempap pokok ketika hujan lebat di Lembah Klang sering kali berlaku dan beberapa insiden maut di jalan bandaraya Kuala Lumpur sejak sedekad lalu.
Corak yang sama sering berlaku dimana hujan lebat diikuti dengan angin kencang mengakibatkan pokok tua yang mempunyai akar lemah mengalami kegagalan struktur dan akhirnya tumbang. Masalahnya bukan sekadar cuaca tetapi lebih kepada pengurusan pokok bandar (urban tree management) yang masih bersifat reaktif, bukan preventif.
Pokok di bandar besar berbeza dengan pokok yang berada dan tumbuh di hutan. Ia hidup dalam keadaan tekanan atau stres dimana tanah dipadatkan oleh jalan dan konkrit yang mengakibatkan akar cetek dan tidak mampu untuk tumbuh lebih dalam dan kuat.
Disamping itu, parit dan longkang juga dilihat mengganggu sistem akar pokok tersebut selain pencemaran dan haba bandar yang melemahkan struktur pokok.
Kaedah pemangkasan yang salah juga menghasilkan cabang berat yang tidak seimbang serta usia pokok yang sangat tua tanpa pemeriksaan struktur dalaman menambahkan lagi risiko kejadian pokok tumbang ini.
Secara visual, pokok nampak sihat tetapi bahagian dalamannya mungkin sudah reput. Inilah punca utama tragedi pokok tumbang iaitu “pokok gagal dari dalam, bukan dari luar”.
Di banyak negara maju, pokok bandar dianggap sebagai aset infrastruktur yang sama penting dengan infrastruktur lain seperti jambatan atau bangunan. Ia tidak hanya dipangkas namun ianya juga “diaudit secara teknikal” daripada semasa ke semasa.
Pemeriksaan profesional arboris sangat diperlukan dan tidak boleh dinilai hanya dengan mata kasar. Manakala pelan penyelenggaran berkala seperti pemangkasan struktur, pengurangan beban kanopi, rawatan akar dan penggantian pokok berisiko perlu dilaksanakan.
Tanpa langkah ini, pemotongan pokok yang tumbang selepas tragedi hanyalah dilihat sebagai penyelesaian sementara.
Sudah sampai masanya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) melihat kepada pelbagai penggunaan teknologi terkini bagi menjamin masa depan pengurusan pokok bandar lebih teratur dan mampu mengurangkan risiko terutama kepada masyarakat awam.
Sebagai contoh penggunaan teknologi seperti kaedah Sonic Tomography yang mampu mengimbas bahagian dalam batang seperti CT-Scan bagi mengesan rongga batang pokok yang reput boleh digunapakai.
Selain daripada itu, kaedah Resistograph Drill Test yang menggunapakai jarum mikro bagi mengukur ketumpatan kayu mampu mengenalpasti dahan kayu rapuh pada pokok sedia ada.
Kaedah Tilt & Root Sensors (IoT) juga boleh diaplikasikan dimana ianya merupakan suatu sensor yang dipasang pada pokok bagi memberikan amaran awal sebelum sesuatu pokok itu tumbang.
AI Predictive Tree Failure model juga merupakan salah satu model ramalan yang berdasarkan kepada spesies, umur, tanah, cuaca dan sejarah ribut di sesuatu kawasan mampu juga mengurangkan risiko kejadian pokok tumbang.
Negara maju lain seperti Singapura dan Jepun sudah menggunakan sistem ini untuk mengurangkan kemalangan pokok tumbang secara drastik.
Setiap kali tragedi pokok tumbang yang berlaku, kita dapat lihat pola yang sama iaitu apabila kejadian pokok tumbang berlaku, ianya akan viral di media sosial dan operasi tebang besar-besaran dilaksanakan dan kemudian ianya akan senyap seketika.
Ini bukan pengurusan namanya. Ini lebih kepada tindak balas kecemasan yang berulang. Namun, Malaysia memerlukan perubahan pendekatan iaitu bukan pendekatan tebang selepas jatuh tetapi pendekatan kenal pasti sebelum jatuh.
Untuk bandar utama seperti Shah Alam, Kuala Lumpur dan Petaling Jaya disarankan agar audit pokok bandar dilaksanakan secara berkala bagi semua pokok matang yang melebihi 15 hingga 20 tahun usianya dan wajib dinilai dari segi teknikal.
Sistem inventori digital pokok bagi setiap pokok perlu dilaksanakan secara meluas yang mana setiap pokok perlu ada ID dan status risiko. Polisi “Replace Not Just Remove” juga perlu dilaksanakan dimana pokok yang berisiko perlu diganti dengan spesies yang lebih sesuai bukan hanya menebangnya.
Tragedi di Shah Alam mengingatkan kita bahawa pokok bandar memberi teduhan dan kesejukan akan tetapi tanpa pengurusan saintifik, ia juga boleh menjadi ancaman maut dan memberikan risiko yang cukup hebat kepada masyarakat umum.
Bandar moden bukan bandar tanpa pokok. Bandar moden ialah bandar yang mengurus pokok secara pintar. Jika kita mampu memantau jambatan daripada runtuh, kita juga perlu mampu mengelakkan pokok daripada tumbang kerana dalam bandar mampan, keselamatan manusia dan kelestarian alam tidak pernah bertentangan dan ianya hanya memerlukan pengurusan yang lebih bijak.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Prof. Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof
Dekan Fakulti Rekabentuk dan Senibina
Universiti Putra Malaysia