KUALA LUMPUR, 1 Januari - Kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) secara rasmi membuka tirainya menerusi penganjuran Visit Malaysia 2026 Countdown Festival, sebuah sambutan ambang tahun baharu berskala besar yang berlangsung dengan penuh warna-warni dan meriah malam tadi di ibu negara.
Festival kira detik itu disertai Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali gus menandakan permulaan kepada usaha memacu momentum awal sektor pelancongan negara.
Negara menyasarkan ketibaan 43 juta pelawat antarabangsa, selari dengan aspirasi menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama pelancong dunia.
Turut hadir memeriahkan acara berkenaan ialah Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Penganjuran acara hasil kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bersama The Fame Events itu mengetengahkan rangkaian persembahan kreatif yang menyatukan letupan bunga api pyromusical, unjuran cahaya laser serta paparan 3D anamorfik ikonik.
Gabungan elemen visual berimpak tinggi ini mewarnai detik simbolik peralihan ke tahun 2026 dengan penuh gah dan bermakna.
Kemeriahan sambutan turut disemarakkan dengan kemunculan Wira dan Manja, maskot beruang matahari VM2026, yang menjadi lambang identiti negara, keramahan rakyat serta keunikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa.
Sambutan malam ambang tahun baharu itu turut diserikan dengan rangkaian persembahan kebudayaan dan hiburan yang menonjolkan kepelbagaian bakat tempatan.
Acara itu turut menampilkan barisan artis popular seperti Shila Amzah, Aina Abdul, Belle Sisoski, Vanessa Reynauld, Kidd Santhe, The Kuans dan KLP48, di samping persembahan tradisional dan kontemporari, sekali gus mencerminkan kekayaan seni budaya Malaysia.
