PUTRAJAYA, 31 Disember - Menjelang tahun baharu, ratusan pengunjung dari pelbagai latar hadir bagi memeriahkan lagi Program Gema Syukur 2026 yang diadakan di Masjid Putra, di sini malam ini.
Program yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama 13 agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bertujuan mengajak masyarakat bermuhasabah diri serta mengukuhkan perpaduan dan nilai sosial.
Ia dimulakan dengan pengisian rohani termasuk solat, bacaan Yasin dan doa selamat, selari dengan penekanan dalam aspek pembangunan insan secara holistik selaras aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Ajib Ismail yang berkongsi pandangan dan menambah lagi nilai serta makna pada sesi podcast "Membina Ummah Rahmah" bagi memberi inspirasi kepada pengunjung.
Program itu akan diteruskan sehingga pagi esok dengan pengisian Qiamullail, Forum Subuh dan majlis perasmian oleh Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, menandakan permulaan tahun baharu yang diraikan dengan kesyukuran dan semangat kebersamaan seluruh umat Islam.
