fb fb fb fb fb

Sanusi mohon ampun kepada Sultan Selangor

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor

ALOR SETAR, 25 September - Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor hari ini membuat permohonan ampun kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Permohonan maaf itu susulan kenyataaan yang dibuat oleh Datuk Seri Muhammad Sanusi di Taman Selayang Mutiara, Gombak pada 11 Julai 2023 sepertimana yang telah dipertuduhkan terhadapnya di mahkamah iaitu dianggap menghina dan tidak menghormati Sultan Selangor.
 
Dalam satu kenyataan media Muhammad Sanusi berkata, beliau menyedari bahawa kata-katanya telah menimbulkan rasa tidak selesa dan telah mengguris hati dan perasaan Sultan Selangor.
 
Beliau benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan tersebut.
 
Jelas Muhammad Sanusi beliau tidak berniat untuk mempersendakan Sultan Selangor yang amat dihormati dan disanjungi.
 
Beliau juga sedar dengan kehadirannya ke negeri orang khususnya berkaitan kes berkenaan di Selangor, beliau tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan sepertimana yang telah beliau perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihanraya.
 
Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri Muhammad Sanusi memohon beribu keampunan kepada Sultan Selangor serta Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-katanya.
 
Beliau juga berjanji akan lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapannya adalah selaras dengan adab sopan budaya Melayu yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Diraja.
 

TETITIA YUSOFF