TAPAH, 7 November – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan membiayai hidangan makanan tengah hari untuk 9,900 prospek penjara di seluruh negeri Perak sempena sambutan Ulang Tahun Keputeraan baginda ke-69, hari ini.
Hidangan dengan nilai keseluruhan RM118,800 itu menampilkan menu nasi minyak, ayam masak merah, kuah dalca, buah-buahan serta pelbagai makanan sampingan lain, disediakan khas untuk prospek di empat institusi penjara dan tiga institusi di bawah seliaan Penjara Mentor di negeri berkenaan.
Serahan sumbangan bagi Penjara Tapah disempurnakan oleh Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Zainuddin yang mewakili baginda.
Menurut beliau, sumbangan itu melambangkan sifat prihatin dan ihsan Sultan Nazrin terhadap kebajikan prospek penjara, di samping menzahirkan harapan agar mereka yang dibebaskan kelak dapat memulakan kehidupan baharu yang lebih baik.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja, Tan Sri Dr. Mohd Zahidi Zainuddin/RTM
“Di samping negeri Perak meraikan pelbagai aktiviti sempena sambutan ulang tahun keputeraan Tuanku, baginda tidak mengetepikan insan-insan di dalam penjara dan tempat-tempat koreksional. Tuanku amat terkesan dengan keadaan mereka dan menzahirkan harapan agar mereka dapat memperbaiki diri serta mengorak langkah ke arah masa depan yang lebih baik,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Sumbangan Makanan Kepada Prospek sempena Sambutan Ulang Tahun Keputeraan ke-69 Sultan Perak, di Penjara Tapah, di sini.
Tambahnya, sumbangan makanan itu melibatkan empat institusi penjara iaitu Penjara Tapah (4,300 prospek), Penjara Taiping (1,700 prospek), Pusat Koreksional Kamunting (1,400 prospek) dan Pusat Koreksional Batu Gajah (950 prospek).
Sementara itu, tiga institusi di bawah seliaan Penjara Mentor ialah Pusat Koreksional Chenderiang (570 prospek), Penjara Satelit Kuala Kangsar (480 prospek) dan Rumah Perantaraan Negeri Perak (500 prospek).