fb fb fb fb fb

Sultan Nazrin sampaikan sumbangan Aidilfitri berjumlah lebih RM11 juta

Sultan Nazrin menyerahkan dana zakat kepada penghulu mukim dari 12 daerah di seluruh Perak

IPOH, 27 Mac- Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Perak 2024 dan majlis penyampaian bantuan Hari Raya Aidilfitri di Masjid Sultan Azlan Shah di sini.

Pada majlis tersebut dana zakat berjumlah RM11,772,300 telah diserahkan kepada penghulu mukim dari 12 daerah mewakili 39,241 penerima terdiri daripada asnaf fakir dan miskin di seluruh Perak.

Turut berangkat Raja Muda Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.

Majlis dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran, tahlil dan doa selamat diikuti bacaan doa berbuka puasa yang dihadiri lebih 1,000 jemaah.

Sultan Nazrin kemudian mencemar duli berbuka puasa bersama-sama jemaah dan menunaikan solat Maghrib secara berjemaah, sebelum berangkat ke majlis santapan, diikuti dengan solat Isyak serta solat tarawih.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad; Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini dan Pengarah Jabatan Agama Islam Perak Harith Fadzillah Abdul Halim serta barisan exco kerajaan negeri.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI