IPOH, 26 Ogos - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenaan berangkat ke Simposium Akademik Bersama antara Universiti Malaya (UM)-Universiti Kebangsaan Singapura (NUS) Kali Ke-2 Tahun 2025 di Ipoh, Perak.
Simposium tersebut dianjurkan bagi menonjolkan hubungan akademik dan kebudayaan yang berkekalan antara Malaysia dan Singapura.
Turut hadir Presiden Singapura, Tharman Shanmugaratnam yang juga Canselor NUS, Naib Canselor Universiti Malaya Prof. Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman serta Presiden NUS Prof Tan Eng Chye.
Bertemakan "Kesihatan Jitu", simposium berkenaan diadakan sempena Kejohanan Golf Tunku Canselor UM-NUS Kali Ke-54 merupakan sebahagian daripada siri acara memperingati lebih 60 tahun jalinan kerjasama antara kedua-dua universiti.
Tahun lalu, Simposium Akademik Bersama kedua-dua universiti itu diadakan di NUS dengan menumpukan kepada kejuruteraan bioperubatan.
Simposium perubatan tahun ini meliputi 10 ucaptama dan ceramah teknikal daripada sarjana dan pakar klinikal terkemuka dari kedua-dua universiti, serta pembentangan khas yang mengangkat sejarah kerjasama antara Singapura dan Malaysia.
Sementara itu, Sultan Nazrin, yang juga Canselor UM menerima menghadap Tharman dan delegasi NUS di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar, semalam.
Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim turut meraikan Tharman dan delegasi pada majlis santapan malam di istana berkenaan.