KUALA LUMPUR, 9 April- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menerima menghadap pimpinan kanan parti UMNO dan DAP di Istana Negara, hari ini.
Pemimpin yang hadir menghadap Seri Paduka Baginda ialah Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Liew Chin Tong dan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh.
Sesi menghadap Seri Paduka Baginda tertumpu kepada perkembangan semasa berkaitan isu-isu sensitiviti agama dan kaum.
"Saya ingin menasihati semua pihak untuk memberi tumpuan bagi mengajak rakyat ke arah perpaduan, bukannya perpecahan.
"Saya ingin melihat rakyat bersatu padu dengan harmoni.
"Saya berharap pemimpin politik tidak ekstrim dalam memberikan pandangan tentang isu-isu agama dan perkauman.
"Bukan hanya UMNO dan DAP, tetapi juga semua parti.
"Pemimpin mesti menjadi jambatan atau penghubung antara rakyat majmuk negara kita dengan contoh perilaku yang matang," titah Sultan Ibrahim.
Titah baginda, kejadian baru-baru ini sepatutnya membuka mata semua pihak bahawa semua lapisan rakyat mempunyai tanggungjawab menjaga perpaduan negara.
Perpaduan yang jitu dalam kalangan rakyat akan menjadi pemangkin kepada kesejahteraan sejagat Malaysia.
Sultan Ibrahim turut meminta semua pihak membuka lembaran baharu dan bermaaf-maafan antara satu sama lain menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.