KUALA LUMPUR, 3 Disember- Insiden penderaan di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) perlu dihentikan serta-merta.
Titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, semua pihak perlu mengambil langkah tegas untuk menghentikan budaya itu dan memulihkan nama baik UPNM.
“Bagi melahirkan seorang pegawai tentera, memang memerlukan latihan fizikal dan mental yang keras, tetapi ini tidaklah sampai mendera sehingga menyebabkan kecederaan dan kematian.
“Saya percaya ibu bapa menghantar anak mereka ke sini untuk belajar menjadi seorang pegawai tentera, bukan untuk didera,” titah Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen Ke-14 UPNM di sini.
Baginda menzahirkan kekecewaan kerana insiden penderaan terus berlaku, meskipun kes-kes sebelumnya telah dibawa ke mahkamah.
“Falsafah utama UPNM adalah untuk menjadi universiti terkemuka dalam bidang pertahanan, ketenteraan, dan keselamatan, dengan disiplin serta budaya tentera sebagai asas utamanya.
“Jika penderaan masih berterusan, saya tidak mahu nama saya dikaitkan dengan universiti ini lagi.
"Panglima dan komandan juga mesti bertanggungjawab dan meletak jawatan kerana gagal melaksanakan amanah mereka,” titah Seri Paduka Baginda.
BERITA BERKAITAN: