SUBANG, 6 November- Laporan siasatan kes buli membabitkan seorang pegawai kadet tahun dua di Akademi Latihan Ketenteraan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), yang dipercayai ditekap dengan seterika oleh penuntut senior, akan dibentangkan pada Jumaat ini.
Menurut Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, laporan berkenaan akan dimuktamadkan Lembaga Siasatan untuk tindakan lanjut.
"Terdapat jawatankuasa yang terdiri daripada pegawai Angkatan Tentera Malaysia yang terlibat dalam siasatan ini.
"Mereka akan membuat cadangan berdasarkan garis panduan dan semua perkara berkaitan disiplin," katanya selepas menyempurnakan Majlis Penghantaran Kumpulan Pertama Malbatt 850-12 di Pangkalan Udara Subang di sini.
Beliau turut menjelaskan bahawa siasatan kes itu juga dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia, dan kertas siasatan telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.
Dalam pada itu, seramai 220 anggota telah menjadi kumpulan pertama Malaysia Battalion 850-12, atau Malbatt 850-12, berlepas ke Lubnan hari ini.
Kumpulan tersebut terdiri daripada 43 pegawai, seorang pegawai awam, dan 174 anggota lain-lain pangkat serta dua pegawai dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei.
Menurut Mohamed Khaled, penerbangan kumpulan itu menggunakan pesawat Batik Air dan akan membawa pulang Kontinjen Malbatt 850-11 yang telah tamat berkhidmat selama 12 bulan.
"Negara kita mempunyai perjanjian persefahaman dengan Pertubuhan Bangsa Bersatu, dan penghantaran ini merupakan kali ke-12 kita menghantar kumpulan ke Lubnan.
"Penglibatan kita sangat penting kerana ia mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai negara yang komited terhadap keamanan sejagat, sambil membina reputasi sebagai negara yang konsisten dalam diplomasi dan penyelesaian konflik secara aman," katanya.