KUALA LUMPUR, 3 Disember -Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan inisiatif bantuan banjir sebanyak RM4 juta menerusi kerjasama dengan beberapa agensi bagi menyalurkan usaha bantuan itu.
PNB dalam satu kenyataan memaklumkan sumbangan tersebut akan digunakan untuk memberi bantuan segera dan memudahkan proses pemulihan jangka panjang kepada komuniti terjejas banjir di lima negeri iaitu sekitar Kelantan (Kota Bharu, Pasir Mas, Gua Musang, Bachok, Tumpat),Terengganu (Besut, Dungun, Hulu Terengganu), Kedah (Kubang Pasu, Kota Setar), Negeri Sembilan (Tampin) dan Selangor.
"Sumbangan disalurkan menerusi agensi-agensi pengurusan bencana seperti Yayasan Ikhlas, Mercy Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), dan Malaysia Relief Agency (MRA)", maklum kenyataan tersebut.
PNB turut memaklumkan sumbangan berkenaan akan difokuskan kepada agihan makanan seperti makanan sedia dimakan dan barang keperluan asas seperti khemah komuniti, selimut, tikar dan kit kebersihan diri.
Sementara itu, sebanyak RM900,000 daripada jumlah peruntukan tersebut telah disalurkan sebelum ini dan digunakan untuk pembelian bot penyelamat serta barangan lain seperti pakaian sekolah, kasut dan beg untuk pelajar yang terjejas, beg kecemasan bencana dan program peningkatan komuniti.
"Pendekatan proaktif PNB mencerminkan komitmennya sebagai warga korporat bertanggungjawab, menunjukkan dedikasi untuk menyokong komuniti terjejas yang memerlukan, terutamanya semasa krisis", tulis kenyataan itu.
PNB juga akan terus membuat pendekatan proaktif dan bekerjasama rapat dengan agensi-agensi terlibat bagi memastikan bantuan berimpak untuk rakyat Malaysia yang terjejas dengan banjir.