fb fb fb fb fb

Jenayah dalam talian : Lebih RM1 bilion kerugian bagi tempoh Januari-Oktober 2024

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim / Foto RTM

KUALA LUMPUR, 3 Disember-Sebanyak RM1.224 bilion jumlah kerugian direkodkan akibat jenayah dalam talian sepanjang Januari hingga Oktober lepas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara berkenaan sangat membimbangkan.

Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, antara yang dikesan termasuklah; pelaburan palsu, pinjaman tidak wujud dan penipuan e-dagang serta Love Scam.

"Sebanyak 136 kertas siasatan dibuka dan 25 kertas siasatan berjaya dituduh dengan pelbagai kesalahan.

"Penguatkuasaan ini mencakupi pemberi pinjaman wang dan pemegang pajak gadai yang berlesen yang berdaftar di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan KerajaanTempatan (KPKT).

"Langkah-langkah diambil ini secara terselaras oleh PDRM, Kementerian Dalam Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Bank Negara Malaysia (BNM), Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) dan KPKT", katanya demikian ketika menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Kulai, Suhaizan Kaiat di Parlimen hari ini.

Jelasnya, pindaan kepada Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) akan dilakukan, selain menggubal Rang Undang-Undang Keselamatan Dalam Talian (ONSA), serta tindakan berterusan oleh Pusat Respons Penipuan Kebangsaan (NSRC) bagi membendung permasalahan tersebut.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Sri Anwar Ibrahim memaklumkan, Portal Semak mule yang digerakkan oleh PDRM berjaya membenteras sindiket penipuan dalam talian.

"Langkah pencegahan di bawah program jenayah kesedaran awam penubuhan semak MULE berjaya.

"Namun ia, tetap membimbangkan kerana sehingga 31 Oktober 2024 sebanyak 181 ,628 nombor telefon, 222,092 nombor akaun bank, 1395 nama syarikat  direkodkan dalam semakan MULE melibatkan penipuan jenayah dalam talian.

"Portal ini banyak membantu  kerana dengan laporan awam sebanyak 32.66 juta carian telah dibuat. "Manakala 22.29 juta memberi jawapan positif", katanya di sini.

Sementara itu, Anwar turut menjelaskan  kerajaan sedia mengkaji berkaitan isu tanggungjawab pihak bank dalam membuat bayaran pampasan kepada pemilik akaun yang kerugian akibat  jenayah scam.

"Kalau dikenal pasti kecuaian pihak bank. Mereka (bank) akan bayar umpamanya setakat ini mengikut Seksyen 413 KTJ, kira-kira RM178,407 telahpun dipulangkan, maknanya ada.

"Jika dikaitkan dengan undang-undang bank United Kingdom (UK) itu dikenal pasti kecuaian pihak bank atau bank tidak memantau ikut peraturan, saya setuju bahawa prinsip itu juga diguna pakai di sini.

"Cuma mungkin dalam kajian yang dibuat yang dipengerusikan oleh KSP. kita akan juga kaji supaya diperketatkan agar pihak bank juga turut bertanggungjawab kalau didapati tidak benar-benar cermat dalam memantau dan memastikan peraturan dipatuhi", katanya.

 

 

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD