SUBANG, 27 Ogos - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, berangkat pulang ke Brunei pada pukul 3.05 petang tadi selepas menamatkan Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia bermula Isnin lepas.
Pesawat khas yang membawa Baginda dan delegasi berlepas dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dengan diiringi Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil turut menyaksikan keberangkatan pulang Baginda bersama Pengiran Muda 'Abdul Mateen Bolkiah, menteri-menteri kabinet dan pegawai kanan Kerajaan Brunei.
Sebelum berlepas, Sultan Hassanal Bolkiah memeriksa kawalan kehormatan terdiri 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai oleh Kapten Mohd Aznizam Azmin.
Pagi tadi, Sultan Hassanal Bolkiah mengadakan pertemuan empat mata dengan Datuk Seri Anwar di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya bersempena Mesyuarat Konsultasi Tahunan Pemimpin ke-26 (ALC26).
BERITA BERKAITAN: