KUALA LUMPUR, 27 Ogos - 17 syor dikemukakan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Wanita, Kanak-kanak dan Pembangunan Masyarakat bagi menangani insiden buli dalam kalangan pelajar sekolah di negara ini.
Pengerusinya Yeo Bee Yin berkata, antara syor yang dikemukakan adalah Kementerian Pendidikan (KPM) perlu membuat hebahan segera serta mengambil tindakan dalam masa tiga bulan.
Jawatankuasa itu turut mengesyorkan agar KPM mewujudkan satu talian aduan buli khas dengan ciri-ciri mesra kanak-kanak, seperti menggunakan bahasa yang mudah serta disuai padan dengan usia dan keupayaan kanak-kanak.
Bagi sekolah berasrama, kotak aduan buli wajib diwujudkan.
"Jawatankuasa mengesyorkan supaya KPM memastikan maklumat peribadi setiap kanak-kanak terlibat dalam kes buli perlu dijaga kerahsiaan, serta memastikan pengadu kes buli dilindungi daripada tindak balas negatif daripada pelbagai pihak," katanya dalam sidang media di Parlimen.
Menurut beliau bagi membanteras budaya buli, jawatankuasa tersebut akan terus memantau pelaksanaan polisi dan penguatkuasaan undang-undang yang dijalankan kerajaan secara berkala.