fb fb fb fb fb

Praraptai Hari Kebangsaan 2025, gambaran sebenar sebelum sambutan rasmi

Praraptai Hari Kebangsaan 2025 di Dataran Putrajaya

PUTRAJAYA, 27 Ogos – Dataran Putrajaya bergema dengan sorakan dan kibaran Jalur Gemilang apabila ribuan peserta pelbagai kontinjen, pasukan beruniform dan agensi kerajaan menyertai praraptai pertama sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Praraptai itu merupakan sebahagian daripada siri persiapan menjelang raptai penuh pada 29 Ogos nanti, sebelum sambutan rasmi Hari Kebangsaan ke-68 pada 31 Ogos.

Secaara keseluruhannya, lebih 14,000 peserta terlibat dalam raptai peringkat awal ini, sebagai persediaan menjelang acara kemuncak hujung minggu ini.

Kira-kira 81 kontinjen mengambil bahagian dalam sesi kali ini, disokong oleh 21 kumpulan pancaragam yang mengiringi perarakan dengan rentak penuh semangat. Turut dipertontonkan adalah sebahagian daripada 431 unit aset, termasuk 77 kenderaan tempatan dan elektrik (EV) pemasangan tempatan, serta 116 ekor aset hidup.

Selain itu, tujuh kereta berhias atau float yang akan menyemarakkan sambutan turut menjalani persiapan teknikal, manakala ruang udara ibu kota digegarkan dengan latihan pesawat tentera dan helikopter.

Raptai kali ini turut diserikan dengan kemunculan beberapa kontinjen baharu termasuk kontinjen Kepengerusian ASEAN 2025, kontinjen Tahun Melawat Malaysia 2026 dan kontinjen Penyiaran serta Industri Kreatif, yang menambah kelainan serta mencerminkan peranan Malaysia di pentas antarabangsa.

Selain perarakan kontinjen, penonton turut disajikan dengan penampilan aset kenderaan tempatan serta kenderaan elektrik (EV) pemasangan tempatan di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), sebagai simbol kemajuan teknologi hijau dan kebanggaan industri negara.

Sorakan penonton semakin gamat ketika persembahan grafik manusia dan koir oleh 2,000 pelajar dari 50 sekolah menengah dengan mesej perpaduan yang dizahirkan melalui lagu patriotik.

Acara kemuncak raptai turut memukau penonton dengan persembahan khas lebih 1,000 peserta yang menampilkan kepelbagaian budaya negara menerusi pakaian berwarna-warni, gandingan muzik tradisional dan sorakan gemuruh yang menghidupkan aura kemerdekaan.

Praraptai pertama itu memberi gambaran awal suasana sambutan sebenar sambutan Hari Kebangsaan 2025 dan sesi tersebut turut disaksikan orang ramai.

Sambutan rasmi Hari Kebangsaan 2025 akan berlangsung di Dataran Putrajaya pada 31 Ogos bermula pukul 8.00 pagi, dengan jangkaan tempoh acara hampir dua jam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI