fb fb fb fb fb

Malaysia - Brunei komited muktamadkan penandaan sempadan Sektor F-G menjelang Mei 2027

Foto FB Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 27 Ogos - Malaysia dan Brunei menegaskan semula komitmen untuk memuktamadkan kerja-kerja penandaan dan tinjauan sempadan di Sektor F-G menjelang Mei 2027 yang akan dilaksanakan sepenuhnya berdasarkan prinsip garisan punca air.

Komitmen itu dizahirkan dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas perbincangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah bersempena Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei (ALC) ke-26.

Datuk Seri Anwar dan Sultan Hassanal Bolkiah turut mengulangi komitmen terhadap Perjanjian Pertukaran Surat (EOL) 2009, Memorandum Persefahaman mengenai Proses Demarkasi dan Ukur Sempadan Darat yang ditandatangani pada Mac 2012, serta Terma Rujukan yang dilampirkan bersama.

"Semua instrumen mengikat ini secara jelas menetapkan bahawa sebarang sempadan darat yang belum ditentukan atau belum didemarkasi antara kedua-dua negara akan diselesaikan berasaskan lima Perjanjian Sempadan Darat sedia ada.

"Bagi kawasan yang belum mempunyai perjanjian, kedua-dua negara akan berunding berasaskan sepenuhnya prinsip punca air," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, kedua-dua pemimpin menyaksikan pertukaran MoU kerjasama berkaitan sektor kesihatan antara Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dengan rakan sejawatannya dari Brunei, Datuk Seri Dr Mohammad Isham Jaafar di Kompleks Seri Perdana.

Turut hadir Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, serta barisan Menteri Kabinet.

MASNIZA AWANG KECHIK