fb fb fb fb fb

157 penagih termasuk warga asing ditahan dalam Op Perdana AADK di Kelantan

Sebahagian daripada 157 individu yang ditahan disahkan positif dadah hasil ujian air kencing dijalankan AADK. Foto- RTM

KOTA BHARU, 27 Ogos - Seramai 157 individu termasuk dua wanita ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi Op Perdana yang dijalankan selama empat hari di Kelantan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) AADK, Khairul Anwar Bachok, berkata operasi yang berakhir hari ini dilaksanakan di empat daerah iaitu Bachok, Pasir Mas, Kuala Krai dan Kota Bharu yang dikenal pasti merekodkan bilangan orang yang disyaki tinggi.

Beliau berkata, mereka yang ditahan berusia antara 19 hingga 61 tahun termasuk empat warga asing. Hasil ujian air kencing mendapati kesemua yang ditahan positif dadah dengan 152 orang dikesan menggunakan methamphetamine, manakala selebihnya opiat, benzo dan ganja.

2708 KTN AADK KHAIRUL

“AADK akan mempertingkatkan operasi pengesanan bukan sahaja terhadap penagih dadah tetapi juga penyalahguna dadah dan bahan. Langkah ini selaras dengan penguatkuasaan pindaan Akta 283 yang sebelum ini dikenali sebagai Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983, yang mula berkuat kuasa pada 22 Ogos lalu,” katanya pada sidang media di Pejabat AADK Kota Bharu, hari ini.

Menurut Khairul Anwar, objektif utama Op Perdana adalah untuk mengesan penagih serta penyalahguna dadah dan bahan terlarang bagi diberikan rawatan dan pemulihan sama ada melalui program pemulihan dalam institusi atau komuniti yang disediakan AADK.

Beliau berkata, operasi tersebut juga bertujuan memutuskan rangkaian bekalan dan permintaan dadah di kawasan sasaran serta memusnahkan lokasi penagihan yang kekal aktif, khususnya di kawasan berisiko tinggi yang dikenal pasti.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN