fb fb fb fb fb

Sultan Brunei terima sambutan negara penuh istiadat di Istana Negara

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menerima Kunjungan Menghadap Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah pada sambutan negara di Istana Negara/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah diberi sambutan negara dengan penuh istiadat di Istana Negara sempena lawatan empat hari ke Malaysia bermula semalam.

Keberangkatan tiba Sultan Hassanal Bolkiah disambut Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut berangkat Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim.

Istiadat sambutan dimulakan dengan lagu kebangsaan kedua-dua negara yang dimainkan Rejimen Askar Melayu Diraja disusuli dengan 21 das tembakan. Seterusnya, kedua-dua pemimpin mengadakan sesi pertemuan.

Pada istiadat sama, Sultan Brunei turut diraikan dengan Majlis Jamuan Negara.

Turut hadir pada istiadat tersebut barisan Kabinet termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Khaled Nordin, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

Lawatan Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia hingga Khamis ini atas undangan Sultan Ibrahim.

Dalam lawatan ini, Sultan Brunei turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Datuk Seri Anwar sempena Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia-Brunei (ALC) ke-26 pada Rabu. 

ALC merupakan mekanisme dua hala tertinggi antara Malaysia-Brunei yang menjadi wadah untuk menilai kemajuan kerjasama sedia ada, menangani isu berbangkit serta bertukar pandangan mengenai hal serantau dan antarabangsa.

ROSLINA BINTI DIN