fb fb fb fb fb

Moratorium projek kediaman KL beri impak negatif

Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Cadangan pelaksanaan moratorium ke atas projek kediaman di Kuala Lumpur dilihat akan memberikan impak negatif kepada banyak pihak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, ia termasuk penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kini banyak bergantung kepada sektor pembinaan dan perkhidmatan berkaitan hartanah

"Kedua, pengurangan kutipan hasil DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) ke atas fi berkaitan pembangunan.

"Selain itu, harga hartanah serta kadar sewa meningkat akan menyebabkan berlakunya perpindahan keluar penduduk, khususnya B40 dan M40, ke pinggir bandar," katanya.

Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman pada sesi waktu pertanyaan-pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Tambahnya, sehingga tahun 2040, penduduk di ibu negara diunjur mencecah sehingga 2.35 juta orang dengan keperluan sehingga 783,000 kediaman baharu.

Daripada jumlah tersebut, 40 peratus rumah yang dibina mestilah mampu milik dan inklusif termasuk untuk warga emas, orang kurang upaya selain skim sewa bersubsidi bagi golongan berpendapatan rendah.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM