fb fb fb fb fb

Kerajaan larang eksport kayu balak, diguna untuk pasaran domestik

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 26 Ogos - Kerajaan tidak membenarkan pengeksportan kayu balak, sebaliknya ia perlu digunakan bagi tujuan pemprosesan dan kegunaan untuk pasaran domestik.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, ketetapan itu bagi menstabilkan penawaran bahan mentah tersebut, selain mengurangkan risiko penyahhutanan.

"Kita tak benarkan kayu-kayu ini dieksport secara balak. Kita hendak kayu-kayu ini digunapakai untuk pemprosesan kegunaan dalam negara dan kalau ada furniture produk yang bersangkut dengan kayu, kita benarkan untuk eksport furniture tersebut.

"Sebab itu dalam industri kayu ini, kita merupakan salah satu kepada pengeksport furniture based on wood kepada negara-negara luar daripada Malaysia ini. Setakat 2024, ia telah memberi nilai eksport RM22.3 bilion, tetapi kita tidak benarkan eksport kayu balak", jelasnya di Dewan Rakyat.

Penyataan itu bagi menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Bakri, Tan Hong Pin mengenai cadangan mengehadkan eksport kayu balak bagi memastikan bekalannya mencukupi untuk pasaran domestik.

Tambahnya, kerajaan turut membenarkan pengimportan kayu balak bagi tujuan pemprosesan perabot atau bahan berkaitan pembinaan, namun ia perlu berasal dari negara mengamalkan konsep perladangan lestari.

ROSLINA BINTI DIN