KUALA LUMPUR, 26 Ogos – Kerajaan Persekutuan terus memberi perhatian serius terhadap pembangunan dan menaik taraf institusi pendidikan Islam di seluruh negara, termasuk sekolah agama rakyat serta sekolah Islam swasta di Perlis.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, sejak tahun 2023 kerajaan telah menyalurkan peruntukan khas secara 'one-off' (sekali beri) berjumlah RM150 juta setiap tahun bagi memastikan fasiliti institusi pendidikan Islam berada dalam keadaan kondusif.
"Pada tahun 2024, Peruntukan Khas Kerajaan Persekutuan Bantuan Selenggara dan Naik Taraf (SNT) telah disalurkan. Ini saya nak kongsikan di Perlis. Kepada Perlis adalah sebanyak RM863,000 untuk manfaat 11 buah institusi pendidikan Islam, iaitu sebuah pondok, lima buah maahad tahfiz dan lima buah sekolah agama rakyat.
"Manakala bagi tahun 2025, walaupun belum cukup lagi tahun 2025, jumlah semakin meningkat. Sehingga hari ini, agihan telah disalurkan kepada lima buah tahfiz dan lima buah sekolah agama di Perlis dengan peruntukan daripada RM863,000 tahun lepas. Tahun ini, RM1,277,800," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Senator Baharuddin Ahmad pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara di sini hari ini.