PUTRAJAYA, 26 Ogos β Malaysia menggesa negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) agar bertindak tegas serta lantang bersuara demi keamanan dan keadilan untuk Palestin.
Perkara itu dinyatakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan pada Mesyuarat Tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar Negeri OIC di Jeddah, Arab Saudi, pada Isnin.
"Malaysia menegaskan sokongan padu kepada Palestin serta mengecam sekeras-kerasnya rancangan Israel mengambil alih Gaza secara ketenteraan.
Perancangan Israel itu jelas menunjukkan agenda untuk menjajah wilayah Palestin secara kekal," katanya ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada mesyuarat tersebut.
Datuk Seri Mohamad turut menzahirkan kebimbangan terhadap krisis kemanusiaan di Gaza, yang menyaksikan angka korban semakin meningkat.
Sementara itu, mesyuarat turut menerima pakai satu resolusi bertajuk βThe 21st Extraordinary Session of the Council of Foreign Ministers of the Member States of the Organisation of Islamic Cooperation to Consider the Continuing Israeli Aggression Against the Palestinian People.β
Di sela-sela mesyuarat, Datuk Seri Mohamad mengadakan pertemuan dua hala bersama rakan sejawatannya dari Algeria, Iran, Kuwait, Mesir, Pakistan dan Qatar.
Antara yang dibincangkan termasuk kerjasama dua hala serta perkembangan semasa berhubung Palestin.